Rabu, 6 Julai 2011

DaN pAdA aYaT iTu....

Nota:  Sekadar perkongsian. Bukan mahu mentafsir ayat-ayat AL-QURAN. Ilmu saya masih terlalu cetek untuk itu.
Sering kali, apabila kita dirundung duka..
Dikurniakan ALLAH sebuah ujian yang menguji keimanan..
Kita akan ditenangkan dengan ayat ini..
“…. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. ALLAH mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”
[Al-Baqarah, ayat 216]
Ayat inilah penenang tatkala kita kekecewaan. Kerana ia mengajar kita untuk redha dan menerima semua yang terjadi dengan tabah. Mengajar kita untuk mengerti bahawa langit tak selalunya cerah, ada masanya apa yang diharapkan tidak semestinya menjadi kenyataan.  Kuatnya sebuah hati untuk menerima sesebuah takdir adalah pada meyakini bahawa ALLAH Maha Mengetahui.
Ambil dua situasi sebagai contoh.
Bagi yang terpaksa melepaskan cinta, ayat ini dibacakan agar dia mengerti bahawa apa yang dicintainya itu bukanlah yang terbaik. Berhentilah dari menyayangi dan lepaskanlah ia pergi. Ada yang lebih baik sedang menanti.
Bagi yang diuji dengan kegagalan dalam peperiksaan walaupun sudah berusaha, ayat ini menjadi penenang hati. Memberitahu bahawa tidak semestinya keputusan cemerlang itu yang terbaik, mungkin sahaja ia akan menjadikan kita riak.
Pendek kata, ayat ini mampu mengubat hati seseorang yang sedang berduka agar menerima semuanya dengan tabah.  Kerana ia mengandungi pesanan bahawa apa yang kita sukai tak semestinya yang terbaik dan sebaliknya. Jadi, ayat ini menjadi penguat untuk kita melupakan. Ia mengajar kita untuk berhenti bersedih dan terima dengan hati yang terbuka.
Tetapi, ayat ini, jika diteliti ia membawa sesuatu yang lebih indah dari sekadar penawar untuk melupakan. Ayat ini bukan sahaja memberi kekuatan untuk kita melepaskan bahkan ianya juga memberi kita sebuah harapan untuk terus berusaha pada sesuatu yang anda sukai dan cintai.
Kerana apa? Jawapannya ada pada penghujung ayat ini. Sebuah pesanan yang sering kita terlupa memandangnya.
“… ALLAH mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”
[AL-Baqarah; 216]
Anda menyukai sesuatu, namun terpaksa melepaskannya pergi kerana ia tidak baik buat anda, tetapi itu bukan bermakna anda harus terus melupakan. Kita sukakan seseorang, melepaskannya pergi bukan bermakna kita harus putus asa dan melupakan cinta selamanya. Kerana fitrah seorang manusia untuk menyayangi dan disayangi. Kita harus terus yakin dan berusaha kerana mungkin pada akhirnya, apa yang tidak baik itu bertukar menjadi yang terbaik untuk kita miliki. Kita sukakan kejayaan, A+ dalam semua subjek, tapi pada satu ketika walaupun dengan usaha, kita masih gagal untuk cemerlang. Ayat ini mengajar kita untuk redha. Tapi ia tidak berhenti setakat itu. Ia bukan titik nokhtah bahawa kita harus berhenti berusaha untuk dapatkan A+ agar kita terlindung dari riak. Kita masih perlu terus berusaha untuk cemerlang walaupun kita pernah ‘diberitahu’ bahawa A+ itu bukanlah yang terbaik buat kita.  Kerana di hujung ayat itu kita dipesan agar jangan pernah putus asa.
Jadi pada ayat ini juga terkandung sebuah kata-kata semangat untuk kita bangun dan terus berusaha. Tak perlu tunggu saat sudah kecewa baru mahu membacanya. Ia ‘versatile’ untuk setiap keadaan untuk mengajak kita berusaha menjadi yang lebih baik. Ia sebuah penyuntik semangat pada setiap masa. Bukan pada saat kita sudah terluka ataupun terjatuh. Jika saat ini anda masih mendedahkan, jadikanlah ayat ini penyuntik semangat untuk anda menutup aurat walaupun pada hati kecil anda mungkin terdetik rasa tidak mampu dan mungkin anda takkan berjaya. Bukan perlu menunggu anda telah dikenakan ujian pedih kerana tidak menutup aurat baru hendak mengambil ibrah dari ayat ini. Itu yang cuba saya sampaikan. Ayat ini bukanlah hanya pada pengakhiran sebuah kejadian, tetapi ia juga penyuluh pada awal perubahan. Teruslah berusaha walaupun kita tidak tahu apa akhirnya. Ingatlah ALLAH mengetahui sedangkan kita tidak! =)
TQVM Azzariyat.com krn mbenarkn saya c&p entri ini….

Tiada ulasan:

Catat Ulasan